LABUAN – Sebanyak 25,200 kilogram ayam beku Denmark yang mendarat di sini pada 30 Jun lalu telah dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Agensi itu berkata dalam sebuah kenyataan hari ini bahawa hasil pemeriksaan awal pegawai mendapati permit import produk hasilan haiwan itu sudah tamat tempoh.
Produk berkenaan dibawa masuk menggunakan sebuah kontena yang sampai di Pelabuhan Dermaga dan Merdeka. Nilai keseluruhan ayam terbabit dianggarkan sekitar RM 246,400.
“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011(Akta 728)…
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya.
Kegagalan pengimportan keluaran pertanian tanpa permit import yang sah menjadi suatu kesalahan.
Tambahnya lagi tindakan itu diambil bagi memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin dan selamat.
“Pihak Maqis mengingatkan kepada pengimport dan pengeksport supaya lebih peka dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan,” tegas agensi itu.