Pendekatan Fleksibel Tangani Konflik Manusia-Buaya

Pendekatan Fleksibel Tangani Konflik Manusia-Buaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah mengamalkan pendekatan fleksibel berasaskan sains dalam menangani konflik manusia dan buaya, tanpa mewujudkan unit rondaan sungai tetap.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr Andi Md Shamsureezal Mohd Sainal (GRS-Tanjung Batu) berkata, pendekatan itu melibatkan tindakan segera di kawasan berisiko tinggi serta strategi jangka panjang melalui pengurusan risiko dan kerjasama pelbagai agensi.

Menjawab soalan Datuk Junz Wong (Warisan-Tanjung Aru), beliau berkata keadaan geografi Sabah yang luas dengan rangkaian sungai dan pesisir memerlukan pendekatan lebih fleksibel, membolehkan tenaga kerja dan kepakaran digerakkan mengikut keperluan.

“Sejak 2023, usaha mitigasi diperkukuh menerusi Jawatankuasa Operasi Mitigasi Buaya Negeri Sabah yang menyelaras operasi, perkongsian maklumat dan tindak balas pantas melibatkan Jabatan Hidupan Liar Sabah, polis serta agensi berkaitan.

Langkah diambil termasuk operasi bersepadu, pengurusan buaya berasaskan risiko, program kesedaran, pemasangan papan amaran dan kerjasama teknikal bagi mengurangkan konflik manusia-hidupan liar,” katanya.

Andi berkata RMK-13 akan memberi tumpuan kepada pengurusan konflik hidupan liar secara holistik melibatkan spesies lain seperti gajah dan monyet, termasuk pemantauan berterusan, penyelidikan saintifik dan penglibatan komuniti.

Menjawab cadangan Datuk Jaujan Sambakong (Warisan-Sulabayan), beliau berkata pemburuan terkawal boleh dipertimbangkan di kawasan tertentu tertakluk kepada undang-undang, manakala cadangan muzium buaya akan diteliti, termasuk kemungkinan mewujudkan kawasan perlindungan sebagai alternatif.