91 PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu di KK, Kudat, Tawau dan Ranau

91 PATI Ditahan Dalam Operasi Bersepadu di KK, Kudat, Tawau dan Ranau

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan seramai 91 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi beberapa operasi penguatkuasaan yang dijalankan di empat daerah termasuk Kota Kinabalu, Kudat, Tawau dan Ranau, semalam.

JIM Sabah memaklumkan, beberapa siri operasi termasuk Ops Selera, Ops Belanja, Ops Serkap, Ops Sapu dan Ops Kutip yang dilaksana di Kota Kinabalu telah memeriksa 151 individu dengan 46 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen termasuk tidak memiliki dokumen sah dan melanggar syarat pas di bawah Akta Imigresen 1959/63. 

“Tangkapan di kawasan itu melibatkan 39 warga Filipina yang terdiri daripada 14 lelaki dewasa, 18 perempuan dewasa, 4 kanak-kanak lelaki dan 7 kanak-kanak perempuan. Turut ditahan, 3 warga Indonesia dan seorang warga Pakistan.

“Di Kudat pula, Ops Sapu memeriksa 46 individu dan menahan 9 warga asing, kesemuanya warga Filipina melibatkan seorang lelaki dewasa, empat perempuan dewasa serta empat kanak-kanak lelaki,” jelas JIM Sabah menerusi satu kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu di Tawau, operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Tawau dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) memeriksa 159 individu dan menahan 23 warga asing. Mereka terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia, termasuk lelaki dewasa, perempuan dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki.

Di Ranau, Ops Sapu memeriksa 17 individu dan menahan 13 warga asing terdiri daripada warga Filipina serta Indonesia, termasuk lelaki dewasa, perempuan dewasa dan kanak-kanak.

JIM Sabah dalam kenyataan sama menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi membanteras PATI serta memastikan undang-undang imigresen negara dipatuhi sepenuhnya.