Sabah Tuan Rumah SEA Youth Athletics Championship Yang Ke-16 November Ini

Sabah Tuan Rumah SEA Youth Athletics Championship Yang Ke-16 November Ini

0
SHARE
Ellron
Ellron dan Shahidan (kanan) merakamkan gambar kenangan bersama-sama sebahagian jurulatih olahraga Sabah ( Sumber Foto: Ihsan KBS Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah telah diberikan kepercayaan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk menganjurkan SEA Youth Athletics Championship yang Ke-16 tahun ini.

Pengumuman itu disampaikan oleh Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim.

Kejohanan bertaraf yang antarabangsa itu bakal disertai 11 buah negara serantau Asia Tenggara iaitu Thailand, Indonesia, Singapura, Vietnam, Myanmar, Kemboja, Brunei Darussalam, Filipina, Timor Leste dan Malaysia sendiri sebagai tuan rumah.

Seramai 500 sehingga 600 atlet dari negara-negara tersebut dijangka akan menyertai kejohanan itu nanti disamping Malaysia juga dijangka akan menghantar seramai 100 atlet bagi menyertai kejohanan terbabit.

Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin berkata beliau telah membentangkan kertas kerja semasa mesyuarat jemaah menteri pada Rabu lepas.

Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak RM12.24 juta untuk menambah baik dan menaik taraf kemudahan sukan yang terdapat dalam Stadium Likas.

“Saya telah membentang satu kertas kerja semasa mesyuarat Jemaah Menteri. Saya berterima kepada kerajaan negeri kerana telah meluluskan RM12.24 juta untuk menaik taraf trek, dan kemudahan di stadium itu sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan harapan agar kerja menaik taraf Stadium Likas dapat dilaksanakan dengan cepat dan menepati syarat yang ditentukan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia dan World Athletics.