Lelaki Maut Terjatuh Dari Tingkat 26 Kondominium Penampang, Tiada Unsur Jenayah

Lelaki Maut Terjatuh Dari Tingkat 26 Kondominium Penampang, Tiada Unsur Jenayah

0
SHARE

PENAMPANG: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun yang ditemukan meninggal dunia berhampiran lobi sebuah kondominium di daerah ini pada petang Khamis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh dari sebuah unit kediaman di tingkat 26 bangunan berkenaan.

Siasatan di lokasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Penampang bersama pasukan forensik IPK Sabah mendapati tiada sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.

Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat dan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis, selain diminta menghentikan penyebaran gambar atau video kejadian bagi menghormati sensitiviti keluarga mangsa.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat kes, Sarjan Mejar Patrick Duffy Francis di talian 013-838 5335 atau menghubungi IPD Penampang di talian 088-712222.