KOTA KINABALU, SABAH – Status pelaksanaan hak dan perkara yang dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) masih dalam proses perbincangan serta rundingan di bawah Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata segala proses perbincangan, rundingan dan pelaksanaan berkaitan perkara terbabit harus melalui beberapa peringkat.
Mengulas lanjut, katanya peringkat tersebut melibatkan aspek perundangan, pentadbiran
kewangan, struktur organisasi dan perkara lain.
Katanya, terdapat tujuh perkara yang dituntut dibawah MA63 yang telah selesai dan dilaksanakan.
“Antaranya ialah Pindaan Perlembagaan Persekutuan Perkara 1(2) dan Perkara 160(2); Pemberian Kuasa (Empowerment) Mengenai Pelesenan dan Penangkapan Ikan Laut Dalam Kepada Kerajaan Negeri Sabah; Penyerahan Kuasa ke atas Pentadbiran Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan kepada Kerajaan Negeri Sabah dan Penyerahan Kuasa Kawal Selia Gas.
“Selain itu, antaranya Pengiktirafan JKR Negeri Sabah sebagai Jabatan Teknikal di bawah AP182; Pelantikan wakil Kerajaan Negeri Sabah sebagai ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN); dan Penyerahan kuasa kawal selia pembekalan elektrik kepada Kerajaan Negeri Sabah pada 3 Januari 2024.
“Kerajaan negeri Sabah masih meneruskan perbincangan pelaksanaan pemberian khas daripada Kerajaan Persekutuan di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Nizam turut menegaskan
pendirian pihaknya berkenaan jumlah pemberian khas yang dituntut adalah berdasarkan formula yang termaktub di bawah Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan masih sama.
“Iaitu bersamaan dengan 40 peratus daripada amaun hasil bersih yang diperolehi oleh kerajaan Persekutuan dari negeri Sabah,” katanya.





