MCW Minta Aman Palestin Bersikap Profesional, Beri Kerjasama Kepada SPRM

MCW Minta Aman Palestin Bersikap Profesional, Beri Kerjasama Kepada SPRM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) secara tegas dan tanpa prejudis meminta pihak Aman Palestin bersikap lebih profesional serta memberikan kerjasama kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan tanpa gangguan.

Memetik sumber Harian Metro, Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, MCW percaya pihak SPRM bertindak berdasarkan data dan fakta.

Menurutnya, MCW memandang serius terhadap telahan wujud konspirasi dalam isu ini.

“Hal ini tidak sepatutnya berlaku sekiranya pihak Aman Palestin sentiasa mengamalkan tadbir urus bersih dan akauntabiliti yang baik dalam setiap operasi mereka. Berani kerana benar!

“Pada pemerhatian kami, tindakan mencabar proses siasatan dalam kes ini, seolah-olah wujud agenda lain yang tersembunyi atau ada perkara yang tidak mahu didedahkan.

“Merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah SPRM, Tan Sri Azam Baki pembekuan akaun bank itu dilakukan mengikut peruntukan undang-undang dan langkah biasa dalam siasatan rasuah.

“SPRM juga sudah bersedia untuk mendedahkan kepada mahkamah, justifikasi tindakan pembekuan 41 aset Aman Palestin Berhad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 yang memberi kuasa kepada sesuatu agensi penguat kuasa untuk mengeluarkan perintah membekukan harta mana-mana orang,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihak Aman Palestin yang mendakwa mereka adalah NGO yang sudah 18 tahun memperjuangkan hak kemanusiaan sewajar lebih matang dan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan ini.

“Biarkan SPRM teruskan siasatan ini dengan tegas dan adil. Jangan mencabar atau menggugat keadilan.

“Proses siasatan SPRM tanpa sebarang tekanan perlu dilaksanakan demi membanteras penindasan terhadap rakyat Malaysia yang mungkin sudah lama tertipu atas sumbangan bantuan kemanusiaan Palestin selama ini,” katanya.