AIM25 Julung Kali di Sarawak, Tampil Dengan Kategori Baharu dan Ganjaran Lebih...

AIM25 Julung Kali di Sarawak, Tampil Dengan Kategori Baharu dan Ganjaran Lebih Besar

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal berlangsung buat pertama kali di Sarawak, dengan pengenalan kategori baharu serta peningkatan ganjaran kepada pemenang sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan industri muzik Malaysia.

Anjuran Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), AIM25 akan diadakan pada 26 September 2026 di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), bersempena sambutan Jubli Perak anugerah muzik berprestij itu.

Dua kategori baharu diperkenalkan iaitu Lagu Borneo Terbaik yang mengiktiraf karya berteraskan budaya, bahasa dan identiti Sabah serta Sarawak, selain Lagu Perayaan Terbaik yang meraikan karya muzik berkaitan tradisi perayaan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.

AIM25 turut menerima sokongan kerajaan menerusi peruntukan Dana Kandungan Kreatif (DKK) di bawah Kementerian Komunikasi yang meningkat kepada RM950,000 berbanding RM700,000 pada AIM24.

Sebanyak 15 kategori akan menerima geran DKK RM50,000 setiap satu, manakala pemenang Album Terbaik bakal menerima geran RM200,000.

Selain itu, Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak (MTCP) turut menyokong penganjuran AIM25 menerusi geran RM1 juta, selaras usaha menjadikan Sarawak sebagai hab seni, budaya dan hiburan.

Pengerusi RIM dan AIM, Rosmin Hashim berkata edisi ke-25 itu mencerminkan evolusi industri muzik negara yang terus berkembang serta komitmen berterusan dalam menghargai bakat tempatan.

AIM25 terbuka kepada lagu dan album dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa India yang diterbitkan di Malaysia antara 1 Januari hingga 31 Disember 2025.

Tempoh penamaan dibuka mulai 16 Julai hingga 6 Ogos 2026, manakala lima calon akhir dijangka diumumkan pada September 2026.

Sebanyak 33 kategori dipertandingkan termasuk Artis Baharu Terbaik, Vokal Lelaki dan Wanita Terbaik, Lagu Terbaik Tahun Ini, Album Terbaik Tahun Ini, Lagu Borneo Terbaik serta Lagu Perayaan Terbaik.

TVS dilantik sebagai Penyiar Rasmi dan Rakan Kongsi Penganjur AIM25, dengan siaran anugerah itu akan dibawakan kepada penonton seluruh negara dari Kuching.