Lelaki Ditahan, Curi Dua Tan Buah Sawit di Tawau

Lelaki Ditahan, Curi Dua Tan Buah Sawit di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun kerana disyaki terlibat dalam kejadian mencuri buah kelapa sawit di sebuah ladang di Sungai Burung, Tawau, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan hasil maklumat dan siasatan lanjut selepas polis menerima laporan berhubung kejadian tersebut pada 8 Oktober lalu di Balai Polis Bandar Sri Indah.

Menurut beliau, insiden berkenaan berlaku pada 3 Oktober sekitar jam 4 petang apabila dua lelaki bersama seorang lagi individu yang masih belum dikenal pasti menceroboh masuk ke kawasan ladang kelapa sawit dengan menggunakan sebuah lori sebelum melarikan kira-kira dua tan buah kelapa sawit bernilai anggaran RM2,000.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau telah menahan suspek pada jam 3.30 petang hari ini di kawasan Kampung Tanjung Batu Kukusan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan sebuah lori berwarna putih, sebatang anak kunci berwarna hitam dan sekeping slip jualan buah kelapa sawit yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan tersebut.

Jasmin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“Polis masih meneruskan siasatan bagi mengesan dua lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian ini,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan mencuri hasil ladang atau membeli hasil curi kerana tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah.