KOTA KINABALU: Sabah kini giat melangkah ke arah menjadi negeri pintar dan hijau melalui pelaksanaan Visi Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan inovasi digital, kelestarian alam sekitar serta pembangunan modal insan sebagai teras utama transformasi negeri, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Menurut beliau, hala tuju pembangunan negeri yang digariskan dalam Visi SMJ menggambarkan komitmen kerajaan negeri untuk menjadikan Sabah sebagai hab ekonomi bertaraf dunia dan masyarakat yang bersatu, aman, makmur serta progresif, selaras dengan kerangka Malaysia MADANI dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.
“Kerajaan negeri telah lama berhasrat menjadikan Sabah sebagai negeri bandar pintar yang seimbang antara kemajuan dan kelestarian. Inilah semangat sebenar Visi SMJ memastikan pembangunan negeri berlandaskan inovasi digital, keterangkuman sosial dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Festival Senibina Borneo (Borneo Architecture Festival, BAF) 2025 bertemakan “Rewire // Rewild: Transforming Cities // Back to Nature” di The Magellan Sutera Resort, di sini hari ini.
Dr. Joachim menjelaskan bahawa pembangunan bandar pintar di beberapa kawasan strategik di Sabah kini dilaksanakan di bawah Pelan Strategik Kerajaan Digital, yang bertujuan membentuk ekosistem ekonomi digital yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Inisiatif ini menyokong teras ketiga pelan pembangunan SMJ iaitu pembangunan jaringan infrastruktur dan kelestarian hijau, dengan fokus kepada peningkatan rangkaian pengangkutan darat, laut, udara serta komunikasi digital,” katanya.
Menurut beliau, usaha membangunkan bandar pintar bukan hanya untuk memperkenalkan teknologi moden, tetapi juga bagi memperkukuh perkhidmatan kerajaan, memperluas akses kepada rakyat dan memastikan keadilan sosial dalam kemajuan infrastruktur.
Dr. Joachim menegaskan bahawa pendekatan Sabah terhadap pembangunan bandar pintar menitikberatkan keseimbangan antara kemajuan teknologi dan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan identiti budaya negeri.
“Tumpuan kita bukan sekadar pada kemodenan, tetapi pada nilai keseimbangan antara inovasi dan warisan, antara kemajuan dan alam. Pembangunan tanpa memahami persekitaran serta budaya tempatan boleh menjejaskan kesejahteraan sosial dan ekologi,” jelasnya.
Beliau berkata, tema BAF 2025 yang menggabungkan konsep “Rewire” dan “Rewild” sangat relevan dengan keperluan masa kini, membina bandar pintar yang terhubung serta memperbaharui hubungan harmoni antara seni bina dan alam semula jadi melalui reka bentuk lestari.
Dr. Joachim turut mengiktiraf Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) Cawangan Sabah atas kerjasama berterusan dalam pembangunan dasar, pelaksanaan projek serta penerapan reka bentuk hijau dan lestari di seluruh negeri.
“Saya yakin platform seperti BAF 2025 akan terus menjadi jambatan kolaborasi antara kerajaan, profesional, pemaju dan masyarakat dalam merealisasikan Sabah yang lebih pintar, hijau dan inklusif,” katanya.
Beliau menegaskan, pertukaran idea dan pengalaman dalam kalangan pemain industri akan mempercepat inovasi, memperkukuh ekonomi serantau serta memastikan pembangunan Sabah terus berlandaskan prinsip kemampanan dan kesejahteraan rakyat.






