Kita Akan Terus Angkat Sabah ke Tahap yang Lebih Tinggi – Hajiji

Kita Akan Terus Angkat Sabah ke Tahap yang Lebih Tinggi – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri merangkap Pengerui Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, menegaskan komitmen untuk terus membawa Sabah ke tahap yang lebih tinggi menerusi dasar pembangunan berterusan dan semangat perpaduan dalam kalangan kepimpinan kerajaan negeri serta parti gabungan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasminya pada Khamis, Hajiji memaklumkan bahawa Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah telah diadakan semalam, diikuti dengan sesi perjumpaan bersama Ketua-Ketua Bahagian bagi memperkukuhkan strategi dan semangat perjuangan parti menghadapi pilihan raya akan datang.

Beliau berkata, kesemua kepimpinan parti sebulat suara menyatakan komitmen penuh untuk memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama kerajaan perpaduan (PH) demi mengekalkan kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat negeri ini.

“Semua kepimpinan sebulat suara menyatakan komitmen untuk memastikan kemenangan GRS–PH demi kestabilan politik, kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.

Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan bahawa rekod pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan GRS jelas menunjukkan kemampuan dalam melaksanakan dasar pembangunan yang menyeluruh melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menjadi panduan utama kemajuan negeri.

“Kita telah membuktikan kemampuan mentadbir dengan baik melalui dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dan dengan sokongan rakyat, kita akan terus mengangkat Sabah ke tahap yang lebih tinggi,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa perpaduan dan kesetiaan dalam kalangan pimpinan serta sokongan rakyat akan menjadi kunci utama kepada kemenangan GRS-PH dalam pilihan raya kali ini.

“Bersama-sama, kita akan memastikan kemenangan ini demi masa depan Sabah yang makmur, bersatu dan stabil,” tambahnya.