YNJ Sumbang RM20,000 Kepada Institusi Agama, Kebajikan

YNJ Sumbang RM20,000 Kepada Institusi Agama, Kebajikan

0
SHARE

KOTA BELUD, SABAH – Yayasan Nur Jauhar (YNJ) menyumbang RM20,000 kepada empat institusi agama dan kebajikan di sekitar daerah ini.

Penerima terdiri daripada Madrasah Darul Ulum Kampung Pirasan, Sekolah Pondok Fii Dzilalil Quran Kampung Tamau, Pusat Pendidikan Al Fateh Kampung Rosok dan Rumah Anak Yatim Nur Taqwa.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah Toh Puan Norlidah R.M Jasni dalam Majlis Bacaan Yasin dan Penyerahan Sumbangan Kepada Pelajar Tahfiz dan Anak Yatim di Dewan Masyarakat Tun Said Keruak dekat sini, semalam.

Terdahulu dalam ucapannya, Toh Puan Norlidah mengingatkan umat Islam agar terus membudayakan kitab suci Al Quran.

“Kehadiran kita ke majlis ini menandakan kebersamaan kita sebagai kaum muslimin dan muslimat pendukung usaha pembudayaan membaca Al-Quran sama ada di rumah, kelas pengajian Al-Quran di masjid, surau atau kelas kaKAFA agar budaya membaca Al-Quran terus disemarakkan.

“Semangat inilah yang diharap terus ditingkatkan dengan tersusun dalam usaha menggembleng tenaga memupuk pembudayaan belajar dan pengajaran baca Al-Quran khasnya kepada kaum ibu dan suri rumah.

“Dengan ledakan teknologi dan media sosial, kita haruslah bijak membahagikan masa dan sediakan juga ruang untuk membaca Al-Quran setiap hari,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 100 jemaah dari gabungan kelas takmir dan kelas al hijrah sekitar Kota Belud seperti Masjid Kampung Lentigi, Masjid Kampung Kulambai, Masjid Kampung Sembirai, Masjid Kampung Taun Gusi, Masjid Kampung Pangkalan Abai dan Masjid Kampung Pirasan menyertai bacaan Surah Yasin yang diketuai Fauziah Husna Hussain dari Masjid Raudhatul Jannah Kota Belud.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pegawai Daerah, Bakri Nanun, Ketua Polis Daerah, Sharudin Mat Hussien serta rombongan YNJ. — JABATAN PENERANGAN SABAH