Akta Laut Wilayah (Akta 750) Tidak Boleh Dikuatkuasa Di Sabah – Jeffrey

Akta Laut Wilayah (Akta 750) Tidak Boleh Dikuatkuasa Di Sabah – Jeffrey

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Sabah akan terus menentang sebarang usaha untuk menguatkuasakan Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) @ Territorial Sea Act (TSA) 2012 yang mengehadkan sempadan Sabah hingga tiga batu nautika.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata, Akta itu melanggar Artikel 1 (3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa wilayah-wilayah bagi setiap negeri adalah wilayah-wilayah yang termasuk di dalam negeri-negeri tersebut sebaik sebelum Hari Malaysia.

Beliau berkata bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah tidak pernah memberikan persetujuan untuk penguatkuasaan Akta 750 di Sabah.

“Mengubah sempadan Sabah memerlukan suara majoriti dalam perhimpunan. Sabah tidak pernah mengubah sempadannya kecuali pada tahun 1984 di mana Labuan diserahkan kepada kerajaan persekutuan dan dijadikan wilayah persekutuan…

“Kehilangan wilayah adalah pengalaman yang menyakitkan bagi mana-mana negara yang merdeka. Mengubah sempadan tanpa persetujuan kita sama sakitnya dengan kehilangan wilayah dan percayalah, rakyat pasti akan marah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan…

Kitingan yang menghadiri taklimat mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri semalam berkata bahawa kerajaan persekutuan seharusnya tidak bertegas untuk memperluaskan Akta 750 itu merentasi Laut China Selatan ke Sabah dan Sarawak kerana ia tidak akan diterima.

Beliau menambah adalah tidak logik untuk mengatakan bahawa kerana Akta ini dikuatkuasakan di Tanah Melayu, maka undang-undang tersebut harus dikuatkuasakan di seluruh persekutuan, termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kami adalah wilayah yang tersendiri. London tidak pergi ke Scotland dan merampas wilayah mereka atas kehendak dan keinginan mereka. Prinsip yang sama digunapakai untuk persekutuan ini.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa kerajaan persekutuan secara tidak sah telah menyerahkan Blok L&M dalam wilayah Sabah pada tahun 2008 kepada Brunei. Kami mahu wilayah ini juga dikembalikan,” katanya.

Isu mengenai Akta Wilayah Laut 2012 adalah salah satu daripada beberapa masalah undang-undang yang masih belum dapat diselesaikan termasuk sumber minyak dan gas Sabah walaupun sudah beberapa kali mesyuarat diadakan diantara Sabah, Sarawak dan Persekutuan sejak 2017.