Pasangan Pengantin Didakwa Lakukan Jenayah Terhadap 250 Murid Sekolah

Pasangan Pengantin Didakwa Lakukan Jenayah Terhadap 250 Murid Sekolah

0
SHARE
Sumber Foto; Harian Metro via Daily Mail

COLOMBO – Sepasang pengantin baru disiasat pihak berkuasa kerana mengerahkan ratusan murid sekolah untuk membawa kain sari sepanjang 3.2 kilometer ketika majlis perkahwinan mereka, Khamis lalu.

Memetik laporan akbar Daily Mail, kira-kira 250 murid sekolah kerajaan beratur memegang kain sari dipakai pengantin perempuan berkenaan ketika mereka berjalan di sebatang laluan utama di Kandy, lapor media tempatan.

Seramai 100 lagi murid menjadi gadis pembawa bunga pada majlis berkenaan.

Semua murid itu dari sekolah yang dinamakan sempena Ketua Menteri Wilayah Sarath Ekanayaka, yang juga tetamu khas di acara berkenaan.

Media tempatan turut melaporkan sari berkenaan memecah rekod sebagai yang terpanjang dipakai seorang pengantin di Sri Lanka.

Sumber Foto; Harian Metro via Daily Mail

Pihak Berkuasa Perlindungan Kanak-kanak Kebangsaan (NCPA) berkata, ia menyiasat kejadian itu.

Pengerusinya Marini de Livera berkata: “Kami memandang serius perkara ini dan lebih penting lagi, tidak mahu ia menjadi satu ikutan.

“Perbuatan mereka menggugat hak kanak-kanak. Menghalang kanak-kanak daripada pembelajaran, meletakkan diri mereka dalam bahaya dan menggugat maruah mereka – semua itu perbuatan jenayah.

“Tindakan mengerahkan pelajar untuk majlis seumpama itu ketika waktu sekolah menyalahi undang-undang dan pesalah boleh dipenjara sehingga 10 tahun.”

Kesatuan guru turut mengecam acara itu, dilaporkan usaha pengantin perempuan terbabit untuk mencipta rekod dunia Guinness baru.

Pengantin terbabit memakai sari itu dan dibawa ke lokasi berkenaan menaiki trak sebelum dia keluar dengan kanak-kanak membantunya memastikan kainnya tidak mencecah lantai.