KOTA KINABALU, SABAH – Jalan Berungis di Tuaran akhirnya akan dinaik taraf bagi menangani kesesakan harian di jalan raya yang menghubungkan Ibu Negeri dengan daerah terletak di utara itu di bawah ‘Rolling Plan’ Kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Projek itu adalah permintaan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor memandangkan jalan itu terletak di dalam kawasan dewan undangan negeri (DUN) Sulaman beliau.
Dengan kos RM15 juta, kerja-kerja menaik taraf jalan sepanjang 4.09 km dari bulatan Berungis sehingga persimpangan Marabahai Spur dijangka bermula tahun depan dan siap dalam tempoh 36 bulan.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman menyerahkan surat projek itu kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Negeri, Datuk Mohd Jasmin Julpin sambil disaksikan Ketua Menteri dalam sebuah majlis di Menara Kinabalu di sini, hari ini.
Pada majlis sama, Hajiji turut menyaksikan penyerahan projek Loji Rawatan Air Tanjung Labian, Lahad Datu yang bernilai RM18.3 juta kepada Kerajaan Negeri.

Ia diserahkan oleh Timbalan Pengarah Perkhidmatan Korporat Felda Mahadzir Mustaffa kepada Pengarah Air Negeri Ir Edward Likapo.
Loji rawatan air berkapasiti empat juta liter sehari (MLD) tersebut memberi manfaat kepada 800 keluarga di enam (6) kampung di Lahad Datu.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan Setiausaha Kerajaan Persekutuan Datuk Dr Zulkapli Mohamed.





