KUALA LUMPUR: Pelakon sensasi Aliff Aziz kembali mencuri perhatian menerusi drama terbaharu iQIYI Original, Madu Atau Racun yang mengangkat kisah penuh emosi mengenai kehidupan berpoligami, pengkhianatan dan kekuatan wanita.
Siri 12 episod arahan Eyra Rahman itu bakal menemui penonton secara eksklusif di iQIYI bermula 14 Ogos ini, setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9 malam.
Turut membintangi drama terbitan MIG Production Sdn. Bhd. itu ialah Uqasha Senrose sebagai Azura dan Elisya Sandha sebagai Nikita, dua wanita yang pada awalnya bermusuhan sebelum dipaksa tinggal sebumbung sebagai madu.
Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, Dinesh Ratnam, berkata Madu Atau Racun bukan sekadar mengetengahkan isu poligami, sebaliknya membawa penonton menyelami perjalanan dua wanita yang terpaksa berkongsi kehidupan dan berdepan pelbagai konflik sehingga mengubah persepsi mereka terhadap satu sama lain.
“Kami berharap penonton mengikuti setiap episod dengan fikiran terbuka kerana setiap episod akan membongkar sisi baharu yang mampu mengubah persepsi terhadap setiap watak,” katanya.
Sementara itu, Eyra menyifatkan Aliff sebagai pelakon yang sangat berbakat, berdisiplin dan profesional sepanjang penggambaran.
Katanya, kontroversi kehidupan peribadi Aliff tidak pernah mempengaruhi keputusan kreatifnya kerana beliau lebih menilai komitmen dan kualiti lakonan yang ditampilkan.
“Saya melihat sendiri bagaimana dia memberikan komitmen sepenuhnya terhadap watak. Dia sangat berdedikasi dan saya amat berpuas hati dengan disiplin serta cara kerjanya,” katanya.
Dalam drama itu, Aliff membawakan watak Adli, seorang ahli perniagaan yang berkahwin dua sehingga mencetuskan konflik apabila kedua-dua isterinya akhirnya menyedari bahawa musuh sebenar bukanlah sesama mereka, tetapi lelaki yang memanipulasi kehidupan mereka.
Elisya pula berkata beliau menerima watak Nikita kerana karakter itu mempunyai pelbagai lapisan emosi yang memberi cabaran baharu kepada lakonannya.
Mengangkat tagline “Satu Rumah. Dua Isteri.”, Madu Atau Racun menjanjikan jalan cerita yang sarat dengan konflik rumah tangga, pengorbanan, trauma dan kejutan yang dijangka mencetuskan perbualan dalam kalangan penonton.






