Kapal Penyelidikan China Singgah di KK, Buka Peluang Kerjasama Sains Marin Sabah

Kapal Penyelidikan China Singgah di KK, Buka Peluang Kerjasama Sains Marin Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kapal penyelidikan Tan Kah Kee mencatat sejarah apabila membuat panggilan pelabuhan sulung di Pelabuhan Kota Kinabalu, sekali gus memperkukuh kerjasama sains marin serantau.

Kapal di bawah program XMU@Sea Universiti Xiamen itu disambut dalam Hari Terbuka Awam yang dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zainudin Aman dan Konsul Jeneral China, Dr Zhu Xinglong.

Pembantu Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Jordan Jude Ellron yang merasmikan program itu berkata, kapal itu menyokong penyelidikan marin pelbagai disiplin, termasuk biodiversiti, perikanan dan perubahan iklim.

“Sabah mempunyai potensi besar untuk memajukan ekonomi biru melalui sains dan pengurusan laut mampan,” katanya.

Presiden Universiti Xiamen Malaysia Wang Ruifang menyifatkan lawatan itu bersejarah, selari ulang tahun ke-10 universiti berkenaan di Malaysia dan 80 tahun pembangunan sains marin China.

Lebih 30 tenaga akademik dan pelajar berada di atas kapal itu yang akan meneruskan pelayaran ke Pelabuhan Klang, sebelum program penyelidikan laut dalam melibatkan 13 institusi termasuk Universiti Malaysia Sabah.