KOTA KINABALU: Seramai 459 mangsa daripada 136 ketua isi rumah dilaporkan masih berada di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah terjejas bencana di Sabah setakat pagi ini.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, mereka ditempatkan di daerah Beaufort, Penampang dan Tawau yang masih terkesan akibat banjir serta kebakaran.
Di Beaufort, seramai 153 mangsa daripada 51 keluarga ditempatkan di PPS Selagon sejak banjir melanda pada 9 September lalu.
Sementara itu, Penampang merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 247 orang daripada 74 keluarga.
Kesemua mereka kini ditempatkan di tiga pusat pemindahan, iaitu Kompleks Sukan Penampang yang menempatkan 36 mangsa, SK St Paul Kolopis dengan 64 mangsa, serta Dewan Huguan Siou yang menempatkan seramai 147 mangsa sejak banjir melanda pada 11 September.
Di Tawau pula, seramai 59 mangsa daripada 11 keluarga masih berlindung di PPS Masjid Al-Aman selepas kejadian kebakaran pada 12 September. S
ecara keseluruhannya, data menunjukkan 127 mangsa terdiri daripada lelaki dewasa dan warga emas, 160 perempuan dewasa serta warga emas, manakala 172 adalah kanak-kanak melibatkan 93 lelaki dan 79 perempuan.
JPBN Sabah memaklumkan setakat ini sebanyak 23 kampung dikenal pasti terjejas melibatkan lapan kampung di Beaufort, 14 di Penampang dan satu di Tawau.
Kesemua PPS yang dibuka masih kekal beroperasi dan tiada penutupan dilaporkan.
Dalam perkembangan sama, pihak berkuasa turut mengesahkan berlaku satu kes kematian akibat bencana yang melanda.
JPBN Sabah menegaskan pemantauan rapi terus dijalankan dan bantuan segera disalurkan bagi memastikan keselamatan serta kebajikan semua mangsa yang ditempatkan di PPS terjamin.






