UMS Sokong Kenyataan NC Universiti Malaya Berhubung Isu Matrikulasi

UMS Sokong Kenyataan NC Universiti Malaya Berhubung Isu Matrikulasi

0
SHARE
Kasim
Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Kasim Mansor ( Sumber Foto: Ihsan UMS )

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan yang dikeluarkan Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, berhubung isu sistem matrikulasi negara.

Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, kebebasan bersuara dalam kalangan warga kampus wajar diraikan sebagai sebahagian daripada budaya akademik, namun ia perlu dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab, pertimbangan wajar serta mengambil kira sensitiviti masyarakat termasuk implikasi terhadap dasar awam.

UMS menegaskan sistem matrikulasi negara telah terbukti memainkan peranan penting dalam menyediakan akses pendidikan tinggi kepada pelajar daripada pelbagai latar belakang.

Program ini selaras dengan usaha kerajaan memastikan peluang pendidikan lebih inklusif, adil dan menyeluruh.

“Dalam konteks negeri Sabah, peranan program matrikulasi amat signifikan kerana telah membuka ruang lebih luas kepada anak-anak negeri ini, khususnya mereka dari kawasan luar bandar dan keluarga berpendapatan rendah,” jelasnya.

Melalui laluan matrikulasi ini, katanya, ramai pelajar berjaya melanjutkan pengajian ke universiti awam termasuk UMS, sekali gus menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi keluarga dan pembangunan modal insan di Sabah.

Seiring dengan pendirian Universiti Malaya, UMS menegaskan komitmen untuk terus menyokong dasar pendidikan negara yang berteraskan prinsip keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan demi masa depan dan kemajuan negara.

“UMS kekal komited menyokong dasar pendidikan negara berlandaskan prinsip keadilan, kebolehcapaian dan pembangunan modal insan,” tambah Kasim.