KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor diminta mengambil tindakan disiplin terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong, Datuk Rubin Balang yang didakwa melanggar syarat perjanjian GRS-Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ia berikutan pembabitan Rubin selaku wakil rakyat mesra GRS, yang didakwa menjadi dalang dalam penyertaan calon Bebas di kerusi Parlimen Tenom, Riduan Rubin yang juga anaknya ke dalam Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini.
Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata tindakan itu bertentangan dengan perjanjian GRS-BN selain tidak mencerminkan semangat setiakawan yang dimeterai di antara kedua-dua gabungan berkenaan.
Katanya, tindakan disiplin wajar diambil terhadap pemimpin yang melanggar perjanjian itu termasuk menamatkan pelantikan mereka sebagai pengerusi atau apa-apa jawatan dalam mana-mana agensi atau starikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Tindakan yang melanggar perjanjian ini memberi gambaran yang negatif terhadap kerjasama GRS-BN selain akan merosakkan sokongan kepada calon BN, Jamawi Jaafar di kerusi Parlimen Tenom,” katanya semasa ditemui selepas menghadiri mesra bersama rakyat Parlimen Kota Belud di kampung Taun Gusi dekat sini hari ini.
Jelasnya, tindakan disiplin perlu diambil segera sebagai peringatan kepada semua ahli dan pemimpin GRS-BN supaya tidak memandang ringan kerjasama yang dimeterai kedua-dua pihak sebelum ini.
Kemasukan Riduan ke dalam KDM dipercayai untuk mendapatkan sokongan parti yang diketuai ADUN Melalap, Datuk Peter Anthony setelah pencalonan Peter untuk bertanding di kerusi Parlimen Tenom ditolak pada hari penamaan calon, 5 November lalu.