KOTA KINABALU: Golongan muda digesa menerokai bidang perniagaan melalui model francais yang terbukti berdaya maju dan mampan, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Ewon Benedick.
Beliau berkata, perniagaan francais menawarkan kelebihan dari segi bimbingan, latihan berterusan serta sokongan pemasaran daripada syarikat induk, sekali gus membantu usahawan muda membina perniagaan dengan lebih tersusun dan cepat berkembang.
Menurutnya, kejayaan dua daripada tiga rakan kongsi francaisi SugarBun Express Inanam yang masing-masing berusia 26 tahun dan kini menyediakan peluang pekerjaan kepada 10 pekerja membuktikan potensi besar sektor francais.
“Perkembangan ini menunjukkan francais mampu menjadi platform kukuh untuk golongan muda memulakan perniagaan. Saya mengalu-alukan lebih ramai anak muda menceburi sektor ini, khususnya melalui jenama tempatan yang telah berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan pembukaan rasmi outlet SugarBun Express di EG Mall Inanam, di sini, hari ini.
Outlet berkenaan merupakan cawangan ke-165 SugarBun di seluruh negara, dengan perancangan pembukaan 40 lagi outlet baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ewon menegaskan kerajaan negeri dan Persekutuan komited menyokong pembangunan industri francais melalui pelbagai inisiatif termasuk pembiayaan, latihan dan bimbingan, selaras usaha memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sebagai pemacu ekonomi negeri.






