KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan sejak malam Jumaat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di Sabah, terutamanya di Beaufort dan Kota Kinabalu.
Kejadian ini telah memaksa pemindahan seramai 498 penduduk daripada 160 ketua isi rumah ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS), dengan jumlah mangsa terus meningkat. Walau bagaimanapun, setakat jam 12 tengah hari, tiada kematian dilaporkan.
Di Beaufort, 316 mangsa daripada 114 ketua isi rumah dari lapan kampung terjejas dipindahkan ke Dewan Slagon sejak Jumaat.
Sementara itu, di Kota Kinabalu, 182 mangsa daripada 46 ketua isi rumah dari satu kampung berada di Dewan Masjid Al Munir, Kampung Darau sejak 3 Sabtu.
Statistik PPS menunjukkan daripada jumlah mangsa, 107 lelaki dan 173 wanita adalah dewasa atau warga emas, manakala 110 lelaki dan 108 perempuan adalah kanak-kanak atau bayi.
Insiden banjir terkini di Kota Kinabalu berlaku di beberapa lokasi. Di Kampung Rampayan, Menggatal, seramai 18 mangsa daripada lima keluarga dipindahkan ke PPS Darau dengan bantuan 13 anggota bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), menggunakan bot penyelamat.
Operasi bermula jam 8.15 malam dan tamat jam 12.05 tengah malam, kesemua mangsa dilaporkan selamat.
Dalam kejadian berasingan di Kampung Brunai, Jalan UMS, tujuh mangsa daripada satu keluarga dipindahkan ke rumah saudara menggunakan lori dan kenderaan pacuan empat roda, dengan operasi dikendalikan enam anggota bomba dan tamat jam 11.40 malam.
Hujan lebat turut mencetuskan tanah runtuh di Kampung Numbak, Kota Kinabalu, sekitar jam 11.40 malam. Tiga buah rumah mengalami kerosakan struktur dianggarkan antara 70 hingga 100 peratus, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan semua operasi pemindahan dan penyelamatan berjalan dengan selamat dan dipantau sepenuhnya.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah terus memantau situasi di lapangan, sementara penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya berwaspada dan segera melaporkan sebarang kecemasan.






