Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat video 8 minit yang tular menunjukkan bendera Malaysia diturunkan dan digantikan dengan bendera Sabah dan Sarawak di bangunan Parlimen Victoria di Melbourne, Australia pada 16 September lalu.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata kertas siasatan dibuka mengikut Akta Hasutan 1948 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Polis menerima 35 laporan berhubung video itu, dengan 34 laporan polis dibuat di Sabah dan satu di Kuala Lumpur.
“Perbuatan individu itu kononnya sebagai simbol tamatnya penjajahan Malaysia terhadap kedua-dua negeri terbabit dan menjadikannya republik.
“Siasatan mendapati video itu diviralkan oleh pemilik akaun media sosial warganegara Malaysia, beralamat di Sabah,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur.
Beliau berkata lelaki itu mempunyai dua rekod jenayah lampau berkaitan Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dan telah didakwa atas kesalahan tidak berkaitan di Kota Kinabalu.
Walau bagaimanapun, lelaki itu dibebaskan dengan jaminan RM3,000 sementara menunggu sebutan kes pada November.
Razarudin berkata pihaknya sedang menyiasat kaitan antara suspek dan individu yang dirakam melakukan perbuatan itu.