Kuala Lumpur: Band indie tempatan yang dinamis, Ramayan, kembali dengan pelancaran single terbaru mereka yang bertajuk Jangan Biar.
Single ini, yang sudah boleh dinikmati di semua platform digital, merupakan single ketiga dari album penuh mereka yang akan datang, Ini Adalah Ujian Transmisi.
Jangan Biar menjadi lebih istimewa kerana menampilkan artis jemputan Lunadira, seorang artis tempatan yang namanya sedang meningkat naik.
Lunadira, yang biasanya menyanyi dalam bahasa Inggeris, mencuba kelainan dengan menyampaikan lagu ini dalam bahasa Melayu, menjadikannya percubaan kedua beliau dalam bahasa ibunda.
Selain itu, album dan lagu ini turut mendapat sentuhan magis daripada penerbit terkenal tempatan, Faliq Mohd atau lebih dikenali sebagai FLQ, yang telah bekerjasama dengan ramai artis ternama seperti Hullera, Gard, The Islandz, Monoloque dan banyak lagi.
Kerjasama ini menjanjikan pengalaman muzik yang mendalam dan penuh makna kepada pendengar.
Lagu ini menggambarkan perasaan deja vu; mengalami sesuatu seakan-akan pernah mengalaminya pada suatu masa dahulu, dan terperangkap dalam masa tersebut.
Walaupun mungkin terdengar seperti lagu cinta antara lelaki dan wanita, ia lebih kepada refleksi diri dan nasihat untuk teruskan kehidupan dan tidak usah tangiskan perkara yang lalu lagi.
Dilancarkan di bawah naungan label rakaman Luncai Emas, Ramayan berharap agar ‘Jangan Biar’ bukan sahaja menghibur tetapi juga membawa pendengar dalam perjalanan spiritual untuk merenung, menyerah, dan bersyukur, sesuai dengan tema keseluruhan album mereka.
Dengan pelancaran single ini, Ramayan mengajak semua peminat untuk merasakan kekuatan emosi dan mesej mendalam yang terkandung dalam lagu mereka.