Madius Cadang Hari Isnin Sebagai Hari Mengundi PRN-17, Selaras Dengan Falsafah Pendidikan...

Madius Cadang Hari Isnin Sebagai Hari Mengundi PRN-17, Selaras Dengan Falsafah Pendidikan dan Rukun Negara

0
SHARE

TUARAN: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, mencadangkan agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Isnin sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) yang akan datang, dengan mengambil kira keharmonian agama, kemudahan rakyat, dan nilai pendidikan kebangsaan.

Menurut beliau, penetapan hari Isnin lebih sesuai berbanding hari lain kerana ia tidak bertembung dengan hari ibadah utama pelbagai agama serta memberi ruang kepada pengundi yang bekerja jauh untuk pulang ke kampung lebih awal pada hujung minggu.

“Hari Isnin adalah yang terbaik kerana mereka yang bekerja jauh boleh pulang ke kampung lebih awal, beribadah bersama keluarga dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada Isnin. Ia juga menjimatkan cuti dan kos perjalanan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Madius yang juga Presiden Kehormat Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan cadangan itu turut berpaksikan Falsafah Pendidikan Kebangsaan, yang menekankan usaha melahirkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.

“Falsafah pendidikan ini bukan hanya untuk murid di sekolah, tetapi harus diterjemahkan dalam dasar dan tindakan kerajaan. Jika kita sendiri tidak menunjukkan keseimbangan antara urusan dunia dan ibadah, sukar bagi pelajar memahami maksud sebenar pendidikan menyeluruh,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan tentang Prinsip Pertama Rukun Negara, iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, yang menuntut agar semua penganut agama dihormati dalam menjalankan ibadah masing-masing.

“Hari Jumaat adalah hari ibadah bagi umat Islam, Sabtu bagi penganut Seventh-Day Adventist dan True Jesus Church, manakala Ahad bagi penganut Kristian. Maka adalah wajar jika hari Isnin dipilih untuk mengundi,” jelasnya.

Madius turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan cuti khas nasional, seperti semasa PRU14 pada 2018, bagi memudahkan rakyat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pilihan raya bukan sekadar proses politik, tetapi juga pendidikan kepada rakyat. Jika kita mahu rakyat mendukung nilai-nilai murni, kerajaan dan SPR perlu menunjukkan teladan terbaik,” katanya.