Inkues Zara: Guru, Warden Tahu Amalan ‘Barcode’, Toreh Tangan Guna Cutter di...

Inkues Zara: Guru, Warden Tahu Amalan ‘Barcode’, Toreh Tangan Guna Cutter di Asrama – Saksi

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang saksi kanak-kanak dalam prosiding Inkues Kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pada hari ke-22 mendedahkan kepada Mahkamah Koroner bahawa amalan menoreh tangan menggunakan cutter atau dikenali sebagai “barcode” sudah lama berlaku di asrama sekolah, dan perkara itu diketahui oleh guru serta warden.

Saksi yang merupakan Deponen Ke-22 (Saksi Kanak-Kanak Ke-13) memberitahu, amalan tersebut dilakukan oleh beberapa pelajar yang menoreh lengan sendiri sebagai satu bentuk “trend” dalam kalangan pelajar tertentu.

Menurut pasukan peguam keluarga Zara, saksi maklumkan, dia sendiri pernah melakukannya sebanyak tiga kali selepas terpengaruh dengan rakan sebatch.

“Saksi sendiri ada membuat barcode dan dia buat kerana terikut-ikut dengan trend batch rakan. Saksi pernah membuat barcode sebanyak 3 kali. Biasanya pelajar buat sendiri guna cutter dan tidak tunjuk kepada orang lain.

Guru dan warden tahu mengenai amalan ini, tapi saksi tidak tahu bagaimana mereka tahu,” jelas mereka dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Saksi turut menjelaskan bahawa budaya senior-junior yang keras masih diamalkan di asrama berkenaan, termasuk tindakan pelajar senior memarahi pelajar junior secara beramai-ramai.

Menurutnya, amalan tersebut dianggap “tradisi” yang diwarisi daripada kumpulan pelajar sebelumnya.

Saksi turut memberi keterangan bahawa pada malam 15 Julai 2025, beliau bersama beberapa pelajar senior lain telah dipanggil untuk “menyelesaikan kes melibatkan Zara” berhubung tuduhan mencuri kad bank seorang pelajar junior.

“Kami bergilir-gilir menyoal Zara dan saya sendiri tanya sama ada dia mencuri atau tidak, tetapi Zara hanya diam,” katanya sambil menambah bahawa suasana ketika itu disaksikan oleh penghuni lain di dorm berkenaan.

Saksi turut menyatakan bahawa salah seorang pelajar senior telah memarahi Zara sebelum beliau dikejutkan sekitar jam 3 pagi dengan berita bahawa ada pelajar terjatuh dari bangunan asrama.

Selain itu, saksi turut memaklumkan bahawa kumpulan pelajar yang dikenali sebagai Circle 19 pernah menghasilkan dua jenis baju, satu berwarna coklat bertulis “NINETEEN” dan satu lagi berwarna biru dengan logo “NT” di dada.

Saksi menambah, beberapa ahli kumpulan tersebut pernah dipanggil guru disiplin dan kaunselor sekitar Jun dan Julai 2025 kerana didapati membawa telefon bimbit ke asrama.