AirAsia Dinobat Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia di Anugerah Pelancongan Dunia...

AirAsia Dinobat Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia di Anugerah Pelancongan Dunia 2025

0
SHARE

HONG KONG: AirAsia sekali lagi mengharumkan nama rantau ini apabila meraih dua pengiktirafan utama pada Anugerah Pelancongan Dunia Asia dan Oceania 2025 yang berlangsung di Hong Kong baru-baru ini.

Syarikat penerbangan itu dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia buat kali ke-13 dan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terunggul Asia selama sembilan tahun berturut-turut.

Ini merupakan pencapaian yang mencerminkan kepercayaan serta sokongan berterusan jutaan penumpang di seluruh rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam berkata, kejayaan tersebut adalah hasil dedikasi lebih 21,000 kakitangan atau Allstars yang menjadi tulang belakang syarikat sejak penubuhannya.

“Kami bukan sekadar membina sebuah syarikat penerbangan, tetapi satu jenama yang percaya bahawa perjalanan harus dinikmati oleh semua,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kru Kabin Kumpulan AirAsia, Suhaila Hassan, menzahirkan penghargaan kepada seluruh kru yang dianggap sebagai “duta utama” jenama itu di setiap penerbangan.

Pengiktirafan berganda ini turut dipuji oleh Pengasas World Travel Awards, Graham E. Cooke, yang menyifatkan dedikasi AirAsia terhadap kecemerlangan perkhidmatan sebagai contoh terbaik dalam industri penerbangan global.

Sejak ditubuhkan, AirAsia telah menerbangkan hampir satu bilion penumpang ke lebih 130 destinasi di Asia, Australia dan seterusnya.

Syarikat itu kini merancang memperluaskan operasi ke Timur Tengah dan Asia Tengah, selaras dengan aspirasinya menjadi syarikat penerbangan rangkaian tambang rendah bertaraf dunia.