KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan Negeri Sabah sedang berusaha untuk membina lebih banyak rumah kos rendah mampu milik bagi memenuhi keperluan kumpulan berpendapatan rendah, B40 dan penduduk setinggan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu kelmarin.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah kini sedang melaksana pembinaan rumah tersebut yang selamat dan kondusif dengan pembiayaan daripada kerajaan negeri.
Beliau yang dipetik Bernama berkata melalui Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sebanyak 175 rumah kos rendah sedang dibina melibatkan kos keseluruhan RM26.42 juta, manakala tambahan 175 rumah lagi akan mula dibina di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) juga melibatkan kos RM26.42 juta.
“Rumah-rumah ini akan dijual dengan harga RM42,000 hingga RM47,000 seunit kepada golongan berpendapatan rendah, B40 dan penduduk setinggan…
“Sejak Rancangan Malaysia Pertama, Kementerian saya melalui LPPB telah membina sebanyak 29,218 unit rumah kos rendah atau mampu milik untuk golongan B40 dan ke bawah,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan Sabah 2021 pada persidangan itu.
Masidi berkata kerajaan negeri juga menyediakan pinjaman perumahan untuk golongan berpendapatan rendah dan B40 yang bukan kakitangan kerajaan serta belum memiliki rumah melalui Skim Pinjaman Perumahan Untuk Golongan Berpendapatan Rendah (SPPUGBR).
“Skim ini bertujuan untuk membantu menampung kos pembinaan rumah yang berharga tidak melebihi RM50,000 seunit dan setakat September lepas sebanyak 495 unit telah dibina,104 unit sedang dalam pembinaan dan 141 unit akan dibina… bagi tahun depan kita terima 349 permohonan baharu,” katanya.
Beliau berkata satu lagi skim pinjaman perumahan disediakan ialah Skim Pinjaman Rumah Panjang (SPRP) iaitu skim pinjaman tanpa faedah membantu menampung kos pembinaan rumah panjang berharga tidak melebihi RM75,000 seunit dan sehingga September lepas 30 unit rumah panjang telah siap dibina.
Masidi berkata kerajaan negeri juga fokus untuk memenuhi permintaan rumah mampu milik daripada golongan M40 yang berharga kurang daripada RM250,000.
“Dalam lima tahun lepas LPPB telah membina 5,157 rumah mampu milik (M40) di Sabah. Sebanyak 1,640 unit rumah lagi sedang dalam pembinaan di Papar, Tuaran dan Kota Kinabalu, selain itu LPPB akan melaksanakan pembinaan 2,085 rumah mampu milik bermula tahun depan…
“Bermula 2019 hingga November lepas sebanyak 2,311 rumah mampu milik dengan harga jualan bawah RM250,000 dibina sektor swasta negeri ini. Kementerian saya akan memperkukuh usaha untuk memudah cara pelaksanaan lebih banyak rumah mampu milik oleh sektor swasta,” katanya.