KOTA KINABALU, SABAH – Lembaga Perumahan dan Pembangunan Bandar (LPPB) Sabah menawarkan kediaman baharu kepada 111 penghuni rumah pangsa kos rendah Tanjung Aru yang akan dirobohkan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, hanya 25 telah menerima tawaran itu, Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya memberitahu penduduk dalam sesi dialog pada Jumaat.
Beliau berkata kerajaan negeri bertegas dengan keputusan menamatkan perjanjian penyewaan memandangkan bangunan usang itu berada dalam keadaan tidak sesuai untuk didiami.
“Pembinaan semula terlalu mahal dan selain Tanjung Aru sudah ditetapkan untuk pembangunan semula.
“Tetapi kita tidak boleh begitu sahaja mengusir lebih 200 keluarga tanpa menyediakan rumah ganti terutama apabila ia melibatkan warga emas, orang kurang upaya dan kumpulan B40.
“Sebab itu tiada tindakan diambil sejak notis dikeluarkan pada 31 Julai walaupun sudah pertengahan Ogos sekarang,” katanya.
Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kibabaig, Penampang dan Gayang di Tuaran telah disifatkan sebagai pengganti yang sesuai.
“Ada juga beberapa tempat lain di mana LPPB bertindak sebagai tuan tanah. Setakat ini, empat (keluarga) dalam proses berpindah.
“Seramai 70 orang sudah keluar atas kerelaan sendiri manakala selebihnya masih menentang. Tetapi kesemua penduduk faham bahawa mereka perlu dan akan berpindah.
“Saya tahu ramai yang enggan bergerak kerana jarak yang jauh. Ramai yang lebih suka PPR Sri Serigai di Putatan tetapi sudah penuh. Nasihat saya adalah untuk mempertimbangkan semula tawaran itu.
“Sebagai ahli parlimen saya telah meminta rumah kos rendah dibina di kawasan Sembulan, Tanjung Aru dan Putatan tetapi dana tidak boleh diperolehi dalam masa satu atau dua tahun. Ia satu proses yang panjang,” katanya.
Shahelmey menggesa mereka yang sudah melebihi kriteria perumahan kos rendah untuk berpindah tetapi memastikan mereka yang benar-benar memerlukan akan dijaga.