KUALA LUMPUR – Meskipun masa silam itu sukar dilupakan, Memey (bukan nama sebenar) yang bercinta dengan seorang ‘pengkid’ selama tiga tahun menemui jodoh lelaki yang membawanya kembali ke pangkal jalan.
Dalam temu ramah bersama Utusan Malaysia, Memey mengakui bersyukur kerana Allah masih sayangkan dirinya dengan tidak membiarkannya terus hanyut.
Menceritakan detik pertemuan dengan Shah, (bukan nama sebenar) yang berperwatakan seperti lelaki pada awalnya adalah perkenalan biasa sebagai pelanggan.
Kata Memey, di awal hubungan dia pernah bertanyakan Shah kenapa memilih menjadi pengkid. Dari apa yang diceritakan segalanya berpunca dari keluarga.
“Shah dibesarkan dalam kalangan adik beradik yang kesemuanya perempuan. Disebabkan kedua ibu bapanya berkeinginan kepada anak lelaki menyebabkan dia dilayan seperti anak lelaki.
“Awalnya, saya berniat untuk mengubahkan Shah kembali menjadi perempuan. Pelbagai usaha dilakukan, namun apakan daya Shah lebih selesa menjadi pengkid,” katanya.
Awalnya, dia tidak berasa apa-apa dengan hubungan mereka namun lama kelamaan dia dapat merasakan Shah ada menaruh perasaan terhadapnya dan sanggup melakukan apa sahaja untuk meraih perhatian.
Segala-galanya terbongkar apabila pada satu hari, Shah melahirkan rasa cintanya kepada Memey malah turut berjanji melakukan apa sahaja demi Memey.
Selama tiga tahun Memey mengakui dirinya dilayan bak puteri dan terasa diri benar-benar dihargai dan disayangi.
“Pada awalnya, saya cuma mahu rapat dengan Shah untuk melepas rasa sepi dan kekosongan jiwa, tetapi lama kelamaan bertukar menjadi sayang.
“Sejak menyewa bersama Shah, kehidupannya berubah 360 darjah. Mereka bagaikan pasangan suami isteri.
“Saya sedar perasaan dan hubungan itu salah di sisi agama. Bagaimanapun saya tidak dapat menepis perasaan kasih dan sayang terhadapnya,” kata Memey.
Beliau berkata kesempatan itu menjadikan hubungan mereka semakin jauh tersasar kerana melakukan hubungan sejenis namun berkata tidak ada nikmat apapun dirasakan.
Kata Memey, cemburu yang keterlaluan merupakan antara kelemahan Shah yang membuatkan dirinya kadang kala rimas.
Pada suatu hari, Memey bertemu dengan Hanif (bukan nama sebenar) lelaki yang berjaya mencuri hati sekali gus membawanya kembali ke pangkal jalan.
“Mungkin Hanif adalah jodoh paling tepat yang dihantar Allah untuk saya. Selepas kecewa dan putus cinta dengan Wafi, saya sudah menutup pintu hati terhadap mana-mana lelaki, tetapi siapalah saya untuk menolak takdir jodoh yang ditetapkan Allah,” ujar Memey.
Kata Memey, bukan sesuatu yang mudah untuk dia meninggalkan Shah sehingga merasa tidak cukup kuat untuk menghadapinya.
“Namun Hanif banyak membantu saya untuk keluar daripada percintaan songsang itu,” ujarnya.
Pada 31 Ogos ini, genap lima tahun Memey dan Hanif berumahtangga. Pasangan ini dikurniakan sepasang anak berusia tiga tahun.
Memey juga percaya, restu dan doa seorang ibu adalah senjata terpenting dalam menentukan siapa dirinya hari ini.
Katanya, selama ini dia banyak melukakan hati ibu lantaran perbuatan silamnya.
Dia juga bersyukur kerana Allah masih memberinya peluang untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.