KOTA KINABALU, SABAH – Trend jangkitan wabak COVID-19 di Sabah terus meningkat di mana ENAM (6) kluster baharu dikesan pada Ahad menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 818 KES.
Jurukata COVID-19 Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Majun berkata ia adalah peningkatan sebanyak 106 kes berbanding hari sebelumnya.
“Penyumbang utama kepada kumulatif kes datang daripada Saringan Kontak Rapat iaitu 364 kes…
“Hnaya daerah Nabawan mencatatkan sifar kes pada hari ini manakala Kluster Kayu Patikang di Keningau merupakan kluster dengan jumlah kes yang tertinggi iaitu 56 kes,” katanya.
Kluster Jalan Tungku di Lahad Datu adalah kluster komuniti. Kes indeks merupakan seorang wanita, 30, yang disahkan positif pada 28 Jun.
“Setakat hari ini, empat kes baharu dikesan menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 35 kes positif COVID-19.”
Kluster Gerbang Kauran di Keningau disyaki berpunca daripada pergaulan dalam kalangan ahli jawatankuasa masjid serta ahli keluarga.
“Kes indeks adalah wanita, 47, disahkan positif pada 21 Julai 2021. Setakat hari ini, kluster ini merekodkan sembilan kes termasuk dua kes baharu.”
Kluster Tinabau di Kinabatangan merebak di tempat kerja iaitu sebuah ladang kelapa sawit.
“Kes indeks merupakan penyelia pekerja ladang, lelaki, 49, yang disahkan positif pada 19 Julai…
“Aktiviti saringan kontak seterusnya mendapati, 25 lagi positif COVID-19 dalam kalangan keluarga, pekerja dan tanggungan menjadikan jumlah kumulatif kes positif setakat hari ini sebanyak 26 kes.”
Kluster Kg Sogo-Sogo di Tongod merupakan kluster komuniti.
“Ia mula dikesan apabila kes indeks, lelaki, 32, disahkan positif pada 23 Julai selepas bergejala sejak 18 Julai…
“Kes indeks telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin Sandakan untuk rawatan dan jumlah kumulatif adalah sebanyak sembilan kes.”
Kluster Gipan Kolombong di Kota Kinabalu dan Tuaran melibatkan penularan jangkitan tempat kerja iaitu di sebuah premis membancuh simen dalam daerah Kota Kinabalu.
“Kes indeks merupakan pengawal keselamatan, lelaki, 28, dari Kg Cenderakasih Inanam Metrotown yang mula bergejala sejak 19 Julai dad disahkan positif tiga hari selepas itu…
“Kluster ini mencatatkan 40 kes termasuk tiga di daerah Tuaran.”
Kluster Simpang Tiga di Ranau dikategorikan sebagai kluster golongan berisiko tinggi dan merebak di sebuah pusat perubatan.
“Kes indeks merupakan staf kesihatan di jabatan kecemasan pusat terbabit, lelaki, 29, yang disahkan positif COVID-19pada 18 Julai…
“Saringan mendedahkan sebanyak 14 kes positif. Jumlah itu merangkumi lapan kes di tempat kerja iaitu petugas kesihatan, sementara enam kes lagi merupakan kontak serumah masing-masing tiga kes di Kg. Lembah Permai dan Kg. Sokid Bundu Tuhan,” jelas Masidi.
Dalam pada itu SEMBILAN (9) lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan bermula 27 Julai sehingga 9 Ogos.
Kawasan terbabit termasuk Kampung Mananam di Tongod, Taman Semarak Megah di Tawau Kampung Sangkabok di Menumbok, Ladang Belian di Kalabakan.
Dua (2) lokaliti di Beaufort iaitu Kampung Batandok dan Kampung Menanjung, Kampung Pelakat dan Kampung Pelakat Paya di Sipitang dan Kampung Sumaang di Ranau.