KUALA LUMPUR – Atlet memanah wanita negara, Syaqiera Mashayikh nekad ingin membuat kejutan ketika menentang Elena Osipova di Sukan Olimpik Tokyo 2020, Selasa ini dalam aksi pusingan pertama recurve individu.
Meskipun sedar bakal berdepan dengan Osipova yang menghuni ranking nombor empat dunia ketika ini, semangat atlet muda berusia 21 tahun itu meningkat dan membara apabila dia berjaya berjaya memperbaharui rekod peribadi terbaiknya dengan catatan 630 ketika aksi penentuan ranking, Jumaat lalu.
Memetik laporan BH Online, catatan itu turut menyaksikan dia mengatasi catatan terbaik pemanah wanita negara di pentas Olimpik milik Mon Redee Sut Txi dengan 626 mata yang dilakukan ketika Olimpik Athens 2004.
Syaqiera yang meraih slot ke Tokyo pada saat akhir, berkata pencapaian itu meningkatkan lagi motivasinya.
“Pada awalnya memang saya berasa gementar kerana ini adalah Sukan Olimpik pertama saya dan pencabar pun bukan calang-calang, semuanya hebat…
“Namun, saya bersyukur kerana dapat mengawal rasa gementar saya dan berjaya melakukan catatan peribadi terbaik. Dulu catatan terbaik adalah 619 dan kini beza 11 mata yang mana dalam sukan memanah ia agak tinggi.
“Ini adalah pencapaian yang baik untuk saya dan meningkatkan lagi tahap keyakinan serta semangat bagi mengharungi pusingan seterusnya,” kata Syaqiera yang berasal dari Segamat, Johor.
Sementara itu, atlet memanah lelaki negara, Khairul Anuar Mohamad akan turun untuk aksi pusingan pertama menentang pemanah Finland, Antti Vikstrom, Rabu ini.