KOTA KINABALU, SABAH – Pameran Artifak Rasulullah SAW dan puteri baginda, Saidatina Fatimah Az-Zahra akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Sabtu ini.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Mutiara Bakti Sabah (PKMBS), Datin Diana Wazir berkata pameran dua hari tersebut dianjurkan sempena menyambut bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.
“Pameran artifak peninggalan Rasulullah SAW itu bertujuan berkongsi pendidikan dan pengetahuan bersama rakyat Sabah sekitar Kota Kinabalu.
“Selain itu , program ini juga bagi memberi penghormatan tertinggi kepada Rasulullah SAW di samping menjadi acara pembukaan sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni di Istana Seri Kinabalu, pada Selasa.
Beliau menjemput orang ramai mengambil kesempatan mengunjungi pameran dua hari hari tersebut yang akan bermula 10 pagi sehingga 10 malam di lokasi tersebut.
“Pelbagai aktiviti turut diadakan seperti kempen derma darah, mewarna bagi kanak-kanak dan sesi bercerita kisah Rasulullah SAW,” ujarnya lagi.
Pameran tersebut merupakan anjuran bersama PKMBS, Pertubuhan Wanita Sabah (PEWASA), Al Falah Solution dan rakan strategik iaitu Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) serta Pejabat Mufti Negeri Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH





