PENAMPANG, SABAH – Seorang wanita berusia 24 tahun disahkan maut selepas ditemui terbaring di atas lantai hadapan pintu rumah sebuah pangsapuri di Bundusan, sini, pada Ahad.
Ketua Polis Penampang DSP Erwansyah Abdul Basir berkata menerima maklumat berhubung insiden pada pukul 4.08 petang.
“Hasil siasatan mendapati mangsa seorang warga tempatan dipercayai terjatuh dari tingkat 4 bangunan tersebut.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.
“Mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth 1 untuk tujuan bedah siasat,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Dalam pada itu beliau menasihati orang awam agar tidak menimbulkan spekulasi yang boleh menggangu siasatan atau menyebar gambar di tempat kejadian bagi menghormati mangsa.