BELURAN, SABAH – Pasukan bomba berjaya memadam tiga daripada 150 ekar hutan yang masih terbakar dalam operasi yang telah masuk hari ke-10 di Kampung Pinangkau, Paitan.
Setakat Ahad semalam, keluasan api hutan yang berjaya dipadam kira-kira 30 anggota termasuk unit dron adalah seluas 63 ekar.
Menurut laporan Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah, anggaran keseluruhan hutan membabitkan 300 ekar.
“Operasi dimulakan pada jam 8:10 pagi.
“Pasukan bomba membuat pemadaman dan mengawal kebakaran yang telah merebak di antara sektor 1 dan sektor 3.
“Bantuan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tiba di lokasi pada jam 12.00.
“Pemadaman melalui udara telah dilakukan menggunakan kaedah ‘water bombing’ sebanyak empat kali. Operasi ditangguhkan pada jam 5.30 petang,” lapor seorang jurucakap pada media.
Kerja-kerja memadam dan mengawal kebakaran turut membabitkan penduduk setempat serta jentera dan lori milik swasta.