APMM Ingatkan Komuniti Maritim Untuk Sentiasa Peka Tahap Keselamatan Di Laut

APMM Ingatkan Komuniti Maritim Untuk Sentiasa Peka Tahap Keselamatan Di Laut

0
SHARE
Pasukan Maritim Malaysia dalam Operasi CARILAMAT bagi seorang nelayan hilang...

KOTA KINABALU, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) mengingatkan komuniti maritim untuk sentiasa peka dengan tahap keselamatan semasa melaksanakan sebarang aktiviti di laut.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Hj. Mohd Rosli Abdullah berkata, keadaan cuaca buruk yang berlaku di seluruh negara khususnya negeri Sabah boleh mendatangkan insiden-insiden yang tidak diingini berlaku sekiranya lalai dengan tahap keselamatan diri.

“Merujuk kepada amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia pada 3 Januari, keadaan angin kencang dan laut bergelora kategori pertama adalah berbahaya kepada bot-bot kecil, rekreasi laut, sukan laut dan aktiviti lain di laut…

“Angin kencang sehingga 50 kilometer sejam beserta laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian sehingga ke 4.5 meter dijangka akan berterusan sehingga esok (6 Januari),” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.

Menurutnya, dalam tempoh empat hari memasuki tahun baharu 2022, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah merekodkan dua kes cari dan menyelamat (CARILAMAT).

“Kes pertama, kejadian bot karam di perairan Batu Payung pada 1 Januari lalu melibatkan sembilan (9) mangsa dengan tiga (3) daripada mangsa telah meninggal dunia…

“Manakala kes kedua berlaku di perairan Lambidan, Menumbok membabitkan seorang lelaki yang dikhuatiri lemas semasa melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan pesisiran pantai, pagi semalam,” jelasnya.

Usaha masih diteruskan bagi mencari Mohammad Sahrijan Sani, 39, yang hilang semasa keluar memukat.

Rosli berkata Sebarang kejadian kecemasan yang berlaku di laut boleh terus hubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan ditalian 088-387774.