Sembilan Individu Tanpa Dokumen Ikut Perhimpunan Ditahan Polis

Sembilan Individu Tanpa Dokumen Ikut Perhimpunan Ditahan Polis

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sembilan individu tanpa dokumen pengenalan diri, dipercayai menyertai perhimpunan #KamiMahuAirSabah anjuran kumpulan mahasiswa Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditahan polis di sini pada petang Jumaat.

Ketua Polis Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda, memaklumkan semua individu terbabit ditahan selepas hadir ke tempat perhimpunan di perkarangan Menara Kinabalu. 

“Sebaik mereka beredar menaiki kenderaan, polis telah membuat pemeriksaan di dalam van dinaiki mereka dan mendapati sembilan individu tidak memiliki dokumen.

“Semua mereka sudah di bawa ke balai polis dan sekarang dalam proses dokumentasi,” katanya di sini, hari ini.

Perhimpunan yang mula berarak dari hadapan kampus UMS disertai kira-kira 80 peserta yang terdiri dari mahasiswa, wakil komuniti dan badan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Kasim ketika ditemui media berkata, pihaknya akan membuka kertas siasatan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 terhadap penganjur perhimpunan berkenaan.

Tinjauan pemberita mendapati hingga kini peserta perhimpunan masih berkumpul di perkarangan Menara Kinabalu dan sedang dipantau oleh pasukan polis.