Kumpulan #KamiMahuAir Sabah Enggan Serah Memorandum Kepada Wakil Hanya Untuk Dapatkan Perhatian...

Kumpulan #KamiMahuAir Sabah Enggan Serah Memorandum Kepada Wakil Hanya Untuk Dapatkan Perhatian Media

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey ketika ditemui pemberita di hadapan bangunan Menara Kinabalu

KOTA KINABALU, SABAH – Keengganan
sekumpulan individu yang menyertai perhimpunan #KamiMahuAir Sabah untuk menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan negeri hari ini disifatkan hanya untuk mendapatkan perhatian media.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya berkata beliau telah diamanahkan mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor untuk menerima memorandum terbabit.

Walau bagaimanapun, kumpulan terbabit sebaliknya enggan menyerahkan memorandum terbabit sebaliknya mendesak untuk menyampaikannya kepada Hajiji sendiri.

“Situasi hari ini kalau kita lihat daripada ayat-ayat yang mereka lontarkan, nampak sekali tuntutan air itu hanya sebagai alasan untuk keluar membuat demonstrasi.

“Kalau kita tengok ayat-ayat seterusnya lebih bermotifkan politik .. untuk apa pun saya tidak tahu. Apa motif politik yang mereka cuba sampaikan, hanya mereka yang tahu.

“Saya diwakilkan oleh Ketua Menteri untuk menerima memorandum mereka petang ini. Namun demikian, apa yang dimaklumkan eh pihak polis dimana mereka telah berhubung dengan ketua demonstrasi ini, mereka enggan memberi memorandum tersebut kepada saya.

“Mereka mahu menyerahkan memorandum itu hanya kepada Ketua Menteri. Bagi saya, saya cuma rakyat biasa yang mendengar apa yang mereka suarakan. Tetapi mereka tidak menghormati orang yang ingin mendengar suara mereka.

“Mereka seperti mahu bermain satu permainan untuk mendapatkan liputan media,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bertempat di hadapan bangunan Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Shahelmey turut menjelaskan pihaknya komited melaksanakan pelbagai alternatif bagi menyelesaikan masalah bekalan air yang melanda negeri.

“Sebagai Menteri Kerja Raya Sabah, Jabatan Air Sabah dibawah saya, kita memang sedang melaksanakan program bekalan air yang ada seperti di Tawau.

“Tindakan kita menstabilkan tekanan air yang ada di kawasan pantai barat dan juga seluruh Sabah. Kita juga sedang membina empangan di Lahad Datu.

“Malah, loji rawatan air juga sedang dibuat di Sandakan. Kita sudah pulihkan bekalan air, jadi bekalan air ini bukan bererti cakap hari ini, esoknya sudah tersedia.

“Ia memerlukan masa yang agak munasabah untuk dilaksanakan. Jadi kita memerlukan kerjasama semua pihak, pegawai Jabatan air dan juga rakyat dalam usaha ini,” katanya.