
KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 484 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di negeri ini memperoleh keputusan cemerlang semua mata pelajaran.
Menurut Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah, Datuk Raisin Saidin terdapat peningkatan calon yang memperoleh keputusan cemerlang pada tahun 2023 berbanding 2022.
“Daripada 35,125 calon di Sabah seramai 484 calon memperoleh keputusan cemerlang dalam semua mata pelajaran pada tahun 2023 berbanding 344 tahun sebelumnya.
“Selain itu, terdapat 29 buah sekolah menerima Anugerah Sekolah 100 peratus Layak Menerima Sijil di mana semua calon peperiksaan layak mendapatkan sijil SPM 2023” jelas beliau.
Dalam pada itu, Anugerah Lonjakan Saujana diperkenalkan bagi mengiktiraf sekolah yang memperoleh prestasi cemerlang Gred Purata Sekolah (GPS) selamat tiga tahun berturut-turut.
Justeru, Raisin memaklumkan peranan pendidikan telah berubah daripada fungsi tradisional kerana pelajar bukan sekadar hadir sekolah untuk belajar malah dididik menjadi modal insan yang berilmu dan berakhlak mulia.
“Anugerah Deklarasi Landskap Baharu JPN Sabah kepada semua Pejabat Pendidikan Daerah yang mendapat Gred Purata Negeri (GPN) di bawah 5.00 sebagai langkah pertama bagi mencapai kejayaan akan datang.
“Diharap kepada penerima anugerah hari ini akan meneruskan budaya kecemerlangan dalam apa jua bidang yang akan diceburi agar dapat memberi sumbangan kepada keluarga, masyarakat seterusnya membangunkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” tambahnya.
Dalam Majlis Kecemerlangan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Tahun 2023 di Kota Kinabalu, hari ini, beliau turut menasihati kepada calon yang tidak berjaya agar mencari peluang untuk mencipta kejayaan di bidang yang lain pada masa akan datang.
Dalam majlis tersebut sebanyak lapan Pejabat Pendidikan Daerah menerima Anugerah Deklarasi Landskap Baharu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah manakala, seramai 22 calon SPM 2023 cemerlang juga diraikan. — JABATAN PENERANGAN SABAH