PAPAR: Dua individu cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan di Kampung Padawan, di sini, petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, kedua-dua mangsa yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an mengalami kecederaan dan terpaksa dibantu keluar dari kenderaan oleh pasukan bomba.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar, PKPgB Rony Sikawan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.06 petang.
Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi sejauh 30 kilometer dan tiba pada jam 4.28 petang.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati sebuah Perodua Myvi terbabas sendiri sebelum melanggar penghadang jalan.
“Terdapat dua mangsa, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan 30-an, yang mengalami kecederaan dan masih berada di dalam kenderaan,” katanya berdasarkan laporan kejadian.
Menurutnya, pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan kedua-dua mangsa dari kenderaan sebelum menyerahkan mereka kepada petugas ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Papar untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.40 petang selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian.






