KOTA KINABALU: Bekas Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri Bersatu Sabah, Aksyah Nasrah, menegaskan bahawa pewartaan Perintah Perlembagaan Persekutuan berhubung Pemberian Khas kepada Sabah bukanlah tanda tunduk kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya merupakan asas sah bagi meneruskan perjuangan tuntutan hak 40 peratus hasil bersih seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut beliau, tindakan Parti Warisan yang terus menuduh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, “mengkhianati rakyat Sabah” dengan menandatangani warta tersebut adalah tuduhan tidak berasas dan bersifat mengelirukan rakyat.
“Tanpa warta, Sabah tidak mempunyai sebarang dokumen rujukan rasmi yang mengandungi terma, syarat dan proses untuk membolehkan Kerajaan Persekutuan menyalurkan pemberian khas. Warta ini ialah perintah Yang di-Pertuan Agong dan menjadi punca kuasa sah bagi pelaksanaan dasar yang dipersetujui bersama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Aksyah menjelaskan, pewartaan itu bukan perjanjian kekal, sebaliknya bersifat sementara dan boleh disemak semula, di mana hasil rundingan terkini dijangka memberi manfaat besar kepada negeri termasuk potensi pemberian khas berjumlah RM600 juta pada tahun 2026.
Beliau turut menegaskan bahawa tuntutan hak 40 peratus tidak pernah dihentikan, malah terus diperjuangkan oleh kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji melalui rundingan rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.
“Warta ini bukan malaikat maut yang menamatkan perjuangan. Ia adalah asas kepada proses pentadbiran dan kewangan untuk memastikan hak Sabah diteruskan dengan tertib dan sah di sisi undang-undang,” katanya lagi.
Aksyah turut memuji pendirian Hajiji yang tidak menuntut kredit atas kejayaan Sabah Law Society (SLS) dalam isu perundangan MA63, sebaliknya menghargai usaha bersama semua pihak memperjuangkan kepentingan Sabah.
Sebaliknya, beliau menyifatkan Warisan hanya berpolitik sempit dengan cuba memanipulasi isu warta untuk menonjolkan diri sebagai pejuang sebenar, sedangkan ketika mentadbir dahulu, presidennya sendiri pernah menerima pemberian khas hanya RM53.4 juta, jauh lebih rendah daripada apa yang diperjuangkan kini.






