KOTA KINABALU: Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir menyifatkan keputusan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk meletakkan calon di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sebagai satu tindakan politik yang matang, konsisten dan berani.
Menurutnya, langkah tersebut membuktikan bahawa Warisan bersedia bertarung atas kekuatan sendiri tanpa bergantung kepada pakatan rapuh atau rundingan pintu belakang.
“Warisan memilih untuk turun ke gelanggang dengan jati diri tersendiri, tidak berpaut pada pakatan longgar atau bermain strategi senyap di belakang tabir. Ini jelas menunjukkan hala tuju politik yang kukuh dan bersandar kepada keyakinan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Sebaliknya, beliau menyelar Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menurutnya masih terumbang-ambing dalam pendirian politik – hari ini bertanding solo, esok merayu kerjasama, lusa mencari gabungan baharu.
“Cogan kata ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ sudah tidak bermakna lagi apabila yang berlaku hanyalah perebutan kuasa dan pakatan demi kelangsungan politik semata-mata.
“Mereka hanya bergabung atas dasar kepentingan diri, bukan prinsip. Jangan bicara soal maruah kalau masih menumpang dapur orang, dan jangan sembang soal prinsip kalau keputusan berubah ikut angin,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut membidas kenyataan Arthur Sen dari Parti Bersatu Sabah (PBS) yang mempertikai pendirian UMNO Sabah.
“Maaf cakap, kenyataan beliau tidak diperlukan. PBS pernah berada dalam BN dari 1990 hingga 2008, kemudian keluar-masuk sesuka hati. Inikah parti yang mahu mempertikai prinsip dan kesetiaan kami?” soalnya.
“Jangan ajar harimau cara mengaum, lebih-lebih lagi jika selama ini hanya tahu menyalak di belakang pagar,” sindir beliau.
Sehubungan itu, Suhaimi mengesahkan bahawa UMNO-BN Libaran akan bertanding di ketiga-tiga kerusi DUN dalam Parlimen Libaran – iaitu DUN Gum-Gum, Sungai Manila dan Sungai Sibuga – pada PRN Sabah ke-17 nanti.
“Kami akan turun sebagai calon Barisan Nasional, membawa suara rakyat dan meneruskan perjuangan untuk kestabilan serta masa depan yang lebih baik bagi Libaran dan Sabah,” tegasnya.






