Lelaki Disyaki Curi Tayar dan Rim Kenderaan Ditahan di Semporna

Lelaki Disyaki Curi Tayar dan Rim Kenderaan Ditahan di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 27 tahun yang disyaki terlibat dalam kes curi tayar dan rim kenderaan di daerah ini susulan kejadian yang dilaporkan awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Polis Tan Hiap Wah berkata, kejadian itu dilaporkan berlaku pada 9 Januari lalu di Masjid Inabah Kamal, apabila mangsa mendapati dua tayar beserta rim kenderaannya hilang selepas selesai menunaikan solat Jumaat.

Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh membawa kepada penahanan suspek oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

“Siasatan awal mendapati suspek mengaku terlibat dalam perbuatan mencuri tayar dan rim kenderaan milik mangsa serta membawa polis ke lokasi penyimpanan barang curi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Tan menegaskan pihak polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah dan akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan demi menjamin keselamatan serta ketenteraman awam.

Orang ramai turut diminta menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihak polis bagi membolehkan tindakan segera diambil.