KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) akan memberi tumpuan utama kepada isu-isu rakyat khususnya berkaitan bekalan air, elektrik dan jalan raya sebagai agenda teras gerak kerja mereka selepas kejayaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, fokus berkenaan adalah usaha berterusan bagi menangani masalah asas yang sekian lama membebankan rakyat, khususnya di peringkat akar umbi, selaras dengan peranan Pemuda sebagai suara rakyat dan golongan muda.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas Mesyuarat Pemuda Gagasan Rakyat, hari ini, sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Pemuda atas komitmen dan kerja keras yang menyumbang kepada kejayaan GRS dalam pilihan raya lalu.
Menurut Azrul, bagi memperkasa agenda kesukarelawanan dan mendekati rakyat secara lebih langsung, Pemuda Gagasan Rakyat turut menubuhkan Sekretariat GAHMUDA, yang dijadualkan dilancarkan selepas Aidilfitri sebagai platform memperkukuh khidmat kebajikan dan penglibatan belia di peringkat komuniti.
Dalam pada itu, beliau menegaskan sokongan penuh Pemuda Gagasan Rakyat terhadap pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, yang disifatkan sebagai fasa baharu pembangunan negeri dengan penekanan kepada pengukuhan asas, lonjakan ekonomi dan dasar berimpak tinggi yang dapat dirasai rakyat di bandar serta luar bandar.
Azrul turut menegaskan komitmen Pemuda untuk mempertahankan hak-hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), selain memperkukuh kerjasama dengan Sayap Pelajar GRS bagi meluaskan jaringan kepimpinan belia dan mahasiswa.
“Dengan semangat kebersamaan, fokus kepada agenda rakyat serta pendirian tegas mempertahankan hak negeri, Pemuda Gagasan Rakyat yakin dapat terus memainkan peranan strategik dalam memperkukuh kepimpinan Gagasan Rakyat dan GRS, demi memastikan pembangunan negeri benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah,” katanya.






