Belia Perlu Jadi Penyelesai Cabaran Negeri, Bukan Sekadar Pengkritik – Noorazmahirah

Belia Perlu Jadi Penyelesai Cabaran Negeri, Bukan Sekadar Pengkritik – Noorazmahirah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Golongan belia Sabah perlu tampil sebagai penyelesai kepada pelbagai cabaran yang dihadapi negeri dan rakyat, bukannya hanya menjadi pemerhati atau pengkritik, kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Noorazmahirah Noorzain.

Beliau berkata, generasi muda mempunyai peranan besar dalam menentukan hala tuju pembangunan Sabah melalui idea, tenaga, kreativiti dan kepimpinan yang mampu membawa perubahan positif kepada masyarakat.

“Kehadiran anak-anak muda dari pelbagai daerah di Sabah pada hari ini membuktikan bahawa semangat kesatuan dan keinginan untuk membina masa depan negeri masih kukuh dalam jiwa generasi muda kita.

Ini merupakan petanda positif bahawa anak muda Sabah tidak mahu lagi hanya menjadi pemerhati, tetapi mahu menjadi sebahagian daripada penyelesai kepada cabaran-cabaran yang dihadapi oleh negeri dan rakyat,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Pertama Parti Pemuda Pemudi Sejahtera (PPS), Sabtu lalu.

 

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan negeri dan bukan sekadar penerima manfaat kepada dasar-dasar kerajaan.

Katanya, dalam aspirasi Sabah Maju Jaya, pembangunan modal insan terus diberikan keutamaan kerana masa depan negeri bergantung kepada kekuatan generasi muda yang berilmu, berkemahiran, berintegriti dan mempunyai daya kepimpinan yang tinggi.

“Anak muda perlu diberikan ruang yang lebih luas untuk menyumbang idea, kepakaran dan tenaga mereka dalam proses membuat keputusan, sektor ekonomi, inovasi teknologi, keusahawanan dan kepimpinan masyarakat.

“Kita mahu melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai cita-cita besar, tetapi juga memiliki keupayaan untuk merealisasikan cita-cita tersebut demi manfaat negeri dan rakyat,” katanya.

Noorazmahirah berkata, Kerajaan Negeri terus komited memperkasa pembangunan belia melalui pelbagai program dan inisiatif yang memberi fokus kepada pendidikan, latihan kemahiran, pembangunan kapasiti, keusahawanan serta pembangunan kepimpinan.

Menurutnya, pelaburan terhadap pembangunan belia merupakan pelaburan jangka panjang yang penting bagi memastikan Sabah terus maju, stabil dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran ekonomi serta perubahan global.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan PPS sebagai sebuah platform yang berpotensi besar untuk memperjuangkan suara anak muda serta menjadi jambatan antara aspirasi belia dengan pelbagai agenda pembangunan di peringkat negeri dan kebangsaan.

“Saya percaya PPS mampu menjadi rakan strategik kepada Kerajaan Negeri dalam memperkasa pembangunan belia Sabah serta melahirkan lebih ramai pemimpin muda yang berkualiti, matang dan berpandangan jauh,” katanya.

Beliau turut menyeru golongan muda supaya menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dan positif bagi menyebarkan maklumat yang bermanfaat serta membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai inisiatif pembangunan yang dilaksanakan kerajaan.

“Mulai sekarang, jadilah belia yang sentiasa cakna terhadap keadaan sekeliling dan memberi manfaat kepada keluarga serta masyarakat.

“Anak muda harus berani, sentiasa relevan dan menjadi agen penyampai yang baik kepada masyarakat demi masa depan Sabah yang lebih cemerlang,” katanya.

Pada masa sama, Noorazmahirah berharap PPS akan terus berkembang sebagai wadah yang menyatukan anak muda tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan daerah, sekali gus memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di negeri ini.