KOTA KINABALU, 7 Oktober – Anak-anak muda Sabah diingatkan agar tidak terjerat dengan politik hasutan dan ilusi penyelamat yang dimainkan oleh segelintir pemimpin pembangkang, menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) tidak lama lagi.
Ketua Bahagian GRS N64 Sulabayan, Datuk Abdul Hajan Gurimbang berkata, politik berasaskan retorik dan persepsi tidak membawa manfaat kepada masa depan negeri, sebaliknya hanya menjadikan generasi muda mangsa kepada cita-cita politik individu.
“Jangan akhirnya anak-anak muda Sabah menjadi mangsa kepada politik hasutan dan ilusi penyelamat yang tidak pernah wujud.
“Masa depan negeri ini perlu dibina dengan kerja nyata, keikhlasan dan kestabilan — bukan dengan kata-kata kosong,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyambut baik keputusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada mandat baharu daripada rakyat.

Katanya, langkah itu membuktikan keikhlasan kerajaan negeri untuk memperkukuh prinsip demokrasi dengan menyerahkan semula kuasa kepada rakyat.
Namun, Abdul Hajan berkata, terdapat segelintir pemimpin pembangkang yang mula memainkan retorik politik sempit dan menabur tuduhan tidak berasas untuk mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan.
“Persoalannya, adakah rakyat mahu terus terjerat dengan politik retorik semata-mata, atau memilih politik khidmat yang bekerja dengan berkesan untuk rakyat?” katanya.
Menurut beliau, antara tuduhan yang dimainkan ialah isu rasuah dalam pentadbiran negeri.
Tuduhan seperti itu, katanya, jelas berniat memesongkan pemikiran rakyat dengan menghukum seseorang terlebih dahulu tanpa melalui proses undang-undang.
“Sistem berkerajaan mempunyai jabatan kehakiman dan agensi penyiasat yang bebas. Sewajarnya, pemimpin pembangkang menggunakan ruang ini untuk memperkukuh integriti dan keadilan negeri, bukan menghasut rakyat atau menidakkan fungsi institusi keadilan yang telah lama berperanan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, beliau turut mempersoalkan naratif pembangkang yang kononnya mahu ‘menyelamatkan Sabah’.
“Soalnya, ketika mereka berkuasa dahulu, apakah tindakan sebenar yang dilakukan untuk menyelamatkan Sabah? Nak selamatkan dari apa, dan daripada siapa?” ujarnya.
Abdul Hajan menegaskan bahawa kerajaan GRS telah membuktikan keberkesanan pentadbirannya sepanjang lima tahun ini dengan memberi tumpuan kepada pelbagai sektor termasuk pembangunan infrastruktur, peningkatan peluang pekerjaan, keusahawanan belia, pendidikan, kebajikan rakyat dan kemajuan luar bandar.
Dalam masa sama, jelasnya, dasar Sabah Maju Jaya terus menjadi pelan hala tuju yang memacu kemajuan negeri merentasi pelbagai sektor termasuk pertanian, industri dan pelancongan.
Katanya, kejayaan ini membuktikan kerajaan GRS telah “menyelamatkan Sabah” dengan tindakan nyata, bukan dengan retorik politik.
“Tindakan sesetengah pemimpin pembangkang yang terus bermain dengan politik persepsi hanya memperlihatkan kebimbangan terhadap sokongan rakyat yang semakin meningkat terhadap GRS,” katanya.
Beliau menegaskan, rakyat Sabah kini semakin matang menilai prestasi kerajaan berdasarkan fakta dan pencapaian sebenar, bukan melalui naratif dan hasutan.






