KKM Cadang Naik Cukai Cecair Vape 900 Peratus Kepada RM4 Setiap Mililiter

KKM Cadang Naik Cukai Cecair Vape 900 Peratus Kepada RM4 Setiap Mililiter

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mencadangkan kenaikan cukai eksais cecair vape sebanyak 900 peratus, daripada 40 sen kepada RM4 setiap mililiter, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan bersama syor menaikkan harga lantai semua produk vape bagi mengawal penggunaan dalam kalangan remaja dan pelajar.

Menurutnya, langkah itu boleh dilaksanakan segera di bawah Belanjawan 2026 sebelum kerajaan melaksanakan larangan penuh terhadap vape dan e-rokok.

Lukanisman turut memaklumkan bahawa memorandum larangan tersebut akan dibentang kepada Jemaah Menteri tahun ini, susulan desakan ibu bapa, pemimpin masyarakat dan Ahli Parlimen.

Beliau berkata KKM akan memperketatkan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, dengan anggaran RM244.8 juta sudah dibelanjakan bagi rawatan kecederaan paru-paru akibat vape, dan kos dijangka meningkat hingga RM400 juta menjelang 2030.

“Adalah lebih baik menghapuskan rokok dan vape kerana kedua-duanya membahayakan kesihatan,” katanya.