Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, hari ini menarik perhatian apabila turut dihadiri Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Ellron Alfred Angin.
Mesyuarat yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) ini merupakan yang pertama selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serta keputusan STAR dan SAPP untuk meninggalkan gabungan tersebut.
Kehadiran Ellron mencuri tumpuan kerana beliau sebelum ini mengumumkan pendirian untuk kekal bersama GRS bersama empat lagi wakil rakyat STAR, sekali gus memperlihatkan perbezaan sikap dalam kepimpinan parti berkenaan menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), Tan Sri Pandikar Amin Mulia; Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin;
Seterusnya, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS), Tan Sri Anifah Aman; Timbalan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Rina Jainal; serta Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.
Mesyuarat AMT GRS kali ini dilihat penting dalam merangka hala tuju dan strategi gabungan tersebut selepas perubahan landskap politik negeri, di samping mengukuhkan kerjasama antara parti-parti komponen yang masih kekal bersama GRS dalam menghadapi pilihan raya yang bakal diadakan tidak lama lagi.






