TAWAU: Seorang wanita cedera parah selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua buah kenderaan di Jalan Bunga Raya, Taman Residen 88, Tawau petang tadi.
Menurut Pusat Gerakan Operasi, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 4.19 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.
Pasukan tiba pada jam 4.26 petang dengan kekuatan sembilan anggota, diketuai Komander Operasi PBK II Azlan Awang Ki.
“Kemalangan tersebut melibatkan dua buah kenderaan jenis Toyota Vigo dan Toyota Yaris. Seorang lelaki berusia 67 tahun yang memandu Toyota Vigo mengalami kecederaan ringan dan berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan pasukan bomba.
“Dalam kejadian itu, tiga individu berada dalam kereta Toyota Yaris, seorang wanita berusia 42 tahun, seorang lelaki berusia 43 tahun, dan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun.
“Dua daripada mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan serius, manakala wanita berusia 42 tahun itu cedera parah selepas tersepit di tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pasukan bomba kemudian bertindak mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan awal.
Mangsa seterusnya dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
Operasi penyelamatan dikawal sepenuhnya sebelum ditamatkan pada jam 5.04 petang setelah pihak bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kemalangan.
Ketua Balai BBP Tawau, TPgB Jemishin Ujin berkata, kecekapan pasukan penyelamat berjaya mempercepat proses mengeluarkan mangsa yang tersepit dan memberikan bantuan kecemasan dengan pantas.
“Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut,” jelasnya.






