KOTA KINABALU, SABAH – Usaha-usaha Kerajaan Negeri ke arah merangsang dan memulihkan ekonomi negeri Sabah melalui pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan pelan pemulihan serta program vaksinasi ke atas penduduk di negeri ini telah menampakkan impak positif.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, berlakunya peningkatan aktiviti perniagaan dan pengeluaran serta perbelanjaan pengguna di Sabah sejak peralihan ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 8 November 2021.
“Prospek ekonomi Negeri Sabah dalam tahun 2022 dijangka akan menunjukkan tren pemulihan yang lebih baik selari dengan pemulihan ekonomi di peringkat nasional dan global,” katanya di Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah (DUN) hari ini.
Hajiji menjawab soalan ADUN Usukan, Datuk Seri Panglima Dr. Mohd Salleh Tun Said Keruak dan ADUN Sungai Manila, Mokran Ingkat, yang menanyakan strategi sedang diambil Kerajaan Negeri dalam menghadapi kelembapan ekonomi.
“Ketika ini, Kerajaan Negeri sedang mempergiatkan usaha untuk merealisasikan beberapa pelaburan baharu melibatkan projek pembuatan kaca photovoltaic (solar panel), pembangunan Bandar Pintar Tanjung Lipat, penanaman herbal perubatan di Kundasang, pembangunan resort eko-pelancongan di Pulau Mengalum dan pembangunan hartanah di atas tanah Yayasan Sabah seluas 10 ekar di Tanjung Lipat, Kota Kinabalu…
“Di samping itu, Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) juga dijangka akan menerima pelaburan baharu melibatkan Projek ZLNG oleh PETRONAS, penapisan minyak kelapa sawit bersepadu, pembuatan produk logam silicon, pemprosesan kitar semula teknologi hijau e-waste, kemudahan rawatan sisa perindustrian (industrial waste treatment facility) dan perkhidmatan marin.
“Sekiranya pelaburan-pelaburan ini direalisasikan kelak, Negeri Sabah dijangka akan menerima jumlah pelaburan langsung yang dianggarkan lebih kurang RM25 bilion,” jelasnya.
Beliau berkata Sabah juga akan menyertai Ekspo 2020 Dubai pada Disember tahun ini dengan misi untuk meneroka potensi perdagangan dan pelaburan yang lebih luas di peringkat antarabangsa.
“Ekspo 2020 Dubai akan menjadi platform penting untuk negeri Sabah mempromosikan produk dan perkhidmatan negeri ini meliputi produk pelancongan dan perindustrian ke pasaran antarabangsa…
“Pada masa yang sama, Negeri Sabah akan mengambil peluang untuk mempromosikan peluang-peluang pelaburan dan perniagaan di Negeri Sabah melalui Flagship Industrial Parks di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian (MID).
“Penyertaan Negeri Sabah dalam ekspo ini dijangka berupaya menjana pulangan perdagangan dan pelaburan yang tinggi dan akan menjadi pemangkin kepada usaha untuk merangsang semula ekonomi negeri ini,” tambah beliau.
Menurut Ketua Menteri, sebagai tambahan, Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk membuka Pejabat Perhubungan, Perdagangan dan Pelancongan di Singapura bagi mempromosikan potensi ekonomi dalam kedua-dua sektor berkenaan.
Pejabat tersebut yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya pada awal tahun hadapan akan menambah baik hubungan perdagangan sedia ada antara Negeri Sabah dan Singapura.
“Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri juga ingin menarik minat para pelabur dari Singapura untuk melabur dalam pelbagai sektor di Sabah selari dengan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk meningkatkan pelaburan berimpak tinggi di negeri ini,” katanya.
Di bawah inisiatif Hala Tuju SMJ dan RMK12, pemetaan nod pertumbuhan utama termasuk kawasan sempadan yang strategik dan berpotensi telahpun dikenal pasti.
Ketua Menteri berkata satu kawasan telah disediakan untuk tapak pembangunan Bandar Sempadan Serudong-Simanggaris.
“Kerajaan Negeri akan membangunkan kawasan ini mengambil kira potensi-potensi ekonomi yang boleh dimanfaatkan oleh Sabah kesan pemindahan ibu negara Republik Indonesia ke Kalimantan.
“Pembangunan Bandar Sempadan berkenaan yang melibatkan pembinaan jalan raya yang menghubungkan Kalabakan ke Simanggaris, Kalimantan berserta pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di pintu masuk untuk pemeriksaaan rentas sempadan dan lain-lain sudah pasti akan memberi impak positif kepada ekonomi dan sosial di kawasan sempadan Negeri Sabah dan Kalimantan.
“Saya yakin segala inisiatif dan program yang telah, sedang dan akan dilaksana oleh Kerajaan Negeri berupaya untuk merancakkan semula aktiviti-aktiviti pelbagai sektor, lantas dapat memulihkan semula pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat negeri Sabah,” ujarnya.





